- Back to Home »
- Organisasi dan Keselamatan Bengkel
PENDAHULUAN
Langkah-langkah Keselamatan adalah satu aspek penting yang perlu dititikberatkan oleh semua pihak, sama ada di sekolah, di pejabat walhal di rumah sekali pun. Langkah keselamatan yang dibincangkan di sini adalah merangkumi segala aspek keselamatan yang melibatkan penggunaan bengkel di sekolah-sekolah.
Keselamatan adalah suatu perkara yang sering dipandang ringan oleh semua orang, lantas langkah-langkah berjaga-jaga langsung tidak dipedulikan. Kita akan mengambil langkah-langkah keselamatan setelah mengalami sebarang kemalangan atau kecederaan. Seperti kata orang tua-tua , dah terantuk baru terngadah. Seharusnyalah kata-kata ini tidak digunapakai lagi di waktu sekarang kerana di zaman ini kita sentiasa terdedah kepada berbagai jenis bahaya yang ada di sekeliling . Hanya , jika kita tidak berhati-hati nasib tidak menyebelahi kita, kerana malang itu tidak berbau.
Langkah-langkah keselamatan yang seharusnya diamalkan oleh semua orang melibatkan 3 aspek iaitu menjaga keselamatan diri sendiri, orang lain dan alatan mesin, mengetahui cara-cara pertolongan cemas dan mengetahui cara menggunakan alat pemadam api.
Semua pihak memainkan peranan penting dalam memastikan langkah-langkah keselamatan diamalkan di sekolah-sekolah. Kecuaian , sikap buruk dan kejahilan merupakan punca utama kemalangan. Gunakan peralatan yang berkeadaan baik dengan kaedah atau cara yang betul untuk mengelakkan berlakunya kecederaan atau kemalangan. Pakaian yang sesuai, disiplin diri dan mematuhi peraturan merupakan perkara penting dalam mencegah kemalangan.
“UTAMAKAN KESELAMATAN”.
Mengikut kamus dewan, keselamatan ialah suatu perkara atau langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan berlakunya peristiwa yang tidak diingini seperti kecederaan atau kehilangan nyawa. Keselamatan dapat dikelaskan kepada tiga iaitu;
1. Menjaga keselamatan diri sendiri, orang lain dan alatan serta mesin.
2. Mengetahui cara-cara pertolongan cemas.
3. Mengetahui cara menggunakan alat pemadam api.